ALOR SETAR: Polis Kedah akan meningkatkan pemantauan di 20 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata langkah itu bagi memudahkan penugasan pegawai dan anggotanya.

"20 lokasi itu telah dikenal pasti dalam 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, tetapi kawasan panas itu bukanlah bermaksud akan berlaku pertempuran yang besar atau kejadian-kejadian yang ekstrem, jangan salah tafsir.

"Apabila sudah tahu lokasi panas itu, ia juga akan mudahkan kita untuk membuat penambahan petugas di kawasan-kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita pada Program Ibadah Korban Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Surau Perumahan Polis Taman Derga Jaya, di sini, hari ini.

Pada 13 Jun lepas, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan polis telah mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri yang terlibat PRN.

Daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi, diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16 serta dua lokasi di Pulau Pinang.